Agar Bidadari Cemburu Padamu

            Agar Bidadari Cemburu Padamu merupakan buku untuk para wanita yang inginkan kenikmatan syurga dalam setiap saat kehidupannya.Buku ini juga sesuai untuk para lelaki dalam mendalami bagaimana memperlakukan wanita dengan keadilan syariat Allah.
            Agar Bidadari Cemburu Padamu dibahagikan kepada empat bahagian.Bahagian pertama mengandungi dua bab yang berkisar tentang penciptaan wanita dan persamaan taraf wanita dan lelaki di sisi Allah.Bahagian kedua pula berdiskusi tentang keterbatasan aurat para muslimah dengan mengenengahkan syarat-syarat pakaian muslimah.Cinta dan wanita sememangnya amat menarik untuk dibahaskan,dan justeru itu,penulis memuatkan bab-bab seterusnya dengan apakah cinta,nilai-nilai cinta bersamaan Allah dan kelas-kelas cinta .Sebagai penutupnya, penulis mengutarakan kisah-kisah para isteri salafussoleh dalam menjana baitul muslim berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.
            Di dalam bab pertama ini,penulis cuba membawa minda para pembaca tentang kasih sayang(Ar-Rahman dan Ar-Rahim) Illahi kepada hambaNya.Sesungguhnya, nikmat Islam itu merupakan nikmat yang paling berharga yang dikurniakan kepada makhlukNya, yang mana dengan pentarbiahan Dinul Islam,manusia mampu untuk mengecapi keindahan alam semesta dan mampu bersyukur di atas kurniaNya. Sepertimana firman Allah:
Dialah yang menurunkan ayat-ayat yang terang(Al-Quran) kepada hambaNya(Muhammad) untuk mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya.Dan sungguh, terhadap kamu Allah Maha Penyantun, Maha Penyayang.(Al-Hadid:9)
Namun,bukan semua makluk yang diciptakan Allah mensyukuri nikmatNya.Ada yang tenggelam di dalam lautan nikmat Illahi,tanpa sedikit pun terbitnya rasa kesyukuran. Namun sebaliknya, amatlah beruntung bagi mereka yang berfikir,meneliti dan memerhati ciptaan Allah lalu lahirlah ke’izzahan terhadap Islam.
            Begitu juga dengan penciptaan wanita.Bukannya kewujudan wanita hanya untuk menemani kesunyian kaum Adam,bukannya untuk diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki,bukannya untuk ditanam hidup-hidup dan wanita juga bukan barangan untuk diperdagangkan.Namun,wanita itu diciptakan dengan sebaik-baik penciptaan untuk kebersamaan kaum lelaki dalam beribadah kepadaNya. Rasulullah saw bersabda:
“Selalu wasiatkan kebaikan  kepada para wanita.Karena mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan bagian yang paling bengkok dari jalinan tulang rusuk ialah tulang rusuk bagian atas. Jika kalian paksa diri untuk meluruskannya, ia akan patah. Tetapi jika kalian mendiamkan diri, ia akan tetap bengkok. Karena itu, wasiatkan kebaikan kepada para wanita (HR Al-bukhari dan Abu Hurairah)
Jika pada zaman jahiliyah merupakan zaman yang paling ngeri bagi kaum wanita,namun, dengan terbitnya sinar Islam, martabat wanita diangkat menjadi  mulia.Tanpa nilai diskriminasi,tanpa pembunuhan hidup-hidup dan tanpa penyeksaan zahir mahupun batin.Melalui hadis tadi,Islam mengangkat wanita dari ranjang kegelapan menuju alam keangunganNya.Di sinilah,peranan wanita digandingkan dengan lelaki dalam berdiskusi,saling mengingatkan, saling memberi wasiat tentang kebenaran, kesabaran dan kasih sayang.Wanita dan lelaki saling bergandingan tangan dalam menjalankan amanah Allah ,menikmati kehidupan yang lebih sempurna dan mendapatkan ganjaran yang lebih baik terhadap apa yang mereka kerjakan.Firman Allah fi kitabihi Al-Aziz:
Baragsiapa mengerjakan kebaikan, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kehidupan yang baik… (An-Nahl:97)
            Betapa Ar-Rahman dan Ar-Rahimnya Allah, kepada kaum wanita,setelah penurunan wahyu-wahyu Ilahiah,maka martabat diri wanita dipandang tinggi.Namun, segelintir wanita merasa marah jika selalu diposisikan sebagai makhluk yang sentiasa dikasihani.Insya Allah,dalam bab kedua, penulis membahaskan kekuatan dan kegagahan wanita berlandaskan syariat Allah.
            Di dalam bab yang kedua ini, kita akan lebih berhusnuZhun pada Allah dengan merenung ayat-ayatNya yang membela kedudukan kaum hawa dari tohmahan kuffar yang mengatakan Islam menindas hak-hak kebebasan wanita.Sehubungan dengan itu, penulis cuba menggunakan pendekatan dalil-dalil naqli dalam menerangkan tentang kepimpinan wanita,soal warisan dan akal serta agama yang mana membuktikan Allah tidak sesekali mendiskriminasikan hambaNya,lelaki dan perempuan.
            Bila menyentuh soal kepimpinan,sememangnya kita sedia maklum bahawasanya Allah berfirman:
Kaum lelaki adalah qawwam atas kaum perempuan…(An-Nisa’:34)
 Sebenarnya kalimah qawwam atau kepimpinan mengikut Al-Qardhawi dalam Fatawi Mu’ashirah berhubung kait dengan kepimpinan dalam kekeluargaan.Lelaki atau suami sebagai ketua keluarga dan isteri sebagai pembantunya.Tetapi, Islam bukan hanya mengehadkan wanita untuk berada dalam kepungan keluarganya, malahan Islam membenarkan wanita untuk menguasai bidang ijtihad, pendidikan dan pembelajaran, ilmu hadith dan pentadbiran.Contohnya, ummahatul mukminin,’Aisyah Binti Abu Bakar telah mengetuai Waqa’atul Jamal yang didampingi oleh Thalhah dan Az-Zubair.Sesungguhnya,dalam posisi kepimpinan masing-masing,Allah telah meletakkan keindahan, yang mana lelaki dan wanita bukan musuh yang saling merendahkan prestasi diri tetapi mereka adalah dua jiwa yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Sesungguhnya wanita adalah belahan tak terpisah dari lelaki (HR Ahmad dan Al-Baihaqi)
Di dalam soal akal dan agama, sememangnya wanita mempunyai nuqshan(kekurangan) jika dibandingkan dengan kaum lelaki.Tetapi,jangan tersilap andaian, kekurangan yang dimaksudkan ini adalah kekurangan dari segi kuantiti, bukannya dari segi kualiti.Jika direnung kembali,wanita sememangnya kurang dalam kuantiti ibadahnya lantaran kedatangan haid,seperti solat dan puasa.Manusia diciptakan serba kekurangan jika dibandingkan dengan Maha Kuasa Allah.Sesungguhnya,kekurangan akal dan agama pada wanita bukanlah sesuatu yang ghaib dan memalukannya,tetapi Allah gantikan kekurangan itu dengan kelembutan, penyayang, dan sifat keibuan.Sebagaimana lelaki,walaupun mereka hebat dengan akal dan agamanya, tetapi,mereka memiliki kekurangan kepekaan dan kehalusan perasaan.Dan ini memang membuktikan wanita dan lelaki adalah pelengkap antara satu sama lain.
Wanita diibaratkan seperti misykat (tempat letak pelita) iaitu cantik berkilau bila diletakkan di tempat yang tersembunyi,bersudut dan membatasi serakan cahayanya.Begitulah perumpaan wanita yang solehah. Rela diri dibaluti oleh helaian kain yang tebal demi menjaga aurat dan mahkota kewanitaannya.Di sini, penulis mengutarakan ciri-ciri pakaian muslimah yang digariskan oleh al-quran dan as-sunnah,iaitu: 1)menutup dan melindungi seluruh tubuh, selain yang dikecualikan, 2)bukan tabarujj(menunjuk-nunjuk) 3)kainnya tebal 4)kainnya tebal,tidak sempit  5)tiada haruman pewangi 6)tidak menyerupai pakaian lelaki 7)tidak menyamai pakaian orang kafir, dan  8)bukan merupakan libasyuh syuhrah( pakaian populariti). Inilah tatacara yang Allah tetapkan untuk para wanita agar terpelihara auratnya dari pandangan lelaki ajnabi,kecuali pada suami dan anak-anaknya.Lihatlah betapa sayangnya Allah pada kaum Hawa sehinggakan perkara aurat dan keterbatasan ini menjadi pokok persoalan dalam beragama supaya wanita muslimah tetap mempesona dan anggun dalam penampilannya tanpa perlu mendedahkan kehalusan dan keindahan badannya.
Di dalam bab yang seterusnya,penulis berbicara dengan panjang lebarnya tentang penghayatan cinta terhadap sesama manusia dan yang pastinya cinta wanita terhadap lelaki.Mencintai dan dicintai merupakan lumrah kehidupan jiwa yang bernama manusia.Sesungguhnya, cinta para wanita solehah bukan pada hartanya,bukan pada ketampanannya, bukan pada kebangsawanannya tetapi, cinta mukminah solehah adalah terhadap akhlaq dan budi pekerti sang jejaka.Allah telah menukilkan kisah cinta puteri Nabi Syu’ib di dalam Al-Quran yang berfirman
Salah seorang dari kedua puteri itu berkata, “Wahai ayahanda, ambillah ia sebagai orang yang bekerja untuk kita. Kerana sesungguhnya orang yang paling baik ayah ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai. (Al-Qashash:26)
Daripada ayat di atas, kita sedia maklum bahawasnya puteri Syui’b tertarik dengan kerajinan dan amanah yang ditunjukkan oleh Musa as,tetapi dengan segala sifat malunya,kesukaan itu dilontarkan dalam bentuk yang tersirat iaitu bercadang untuk dijadikan Musa sebagai pekerja.Lihatlah disekeliling kita, betapa jauhnya nilai masyarakat hari ini dalam memahami pengajaran dari Al-Quran dan As-Sunnah.Anak-anak muda tanpa segan silu menjual maruah diri untuk mencapai nikmat sebuah percintaan.Na’uzubillah.Namun begitu,mencintai dan dicintai tidak sesekali terlarang oleh agama.Malah, di dalam Al-Quran telah diberitakan tentang sifat kecintaan manusia sesama manusia di dalam surah Ali ‘Imran ayat 14
Dijadikan indah bagi manusia kecintaan terhadap apa-apa yang diingini syahwat dari wanita-wanita, anak-anak dan harta yang banyak dari jenis emas,perak, kuda pilihan, ternak dan sawah ladang…( Ali ‘Imran : 14)
Kenapa Islam tidak melarang penganutnya untuk bercinta?sedangkan, dunia hari ini membuktikan cinta adalah virus pemusnah dalam kehidupan anak-anak remaja,pemusnah jiwa yang merdeka,pengacau keaktivisme seorang akhawat, dan yang paling syadid adalah cinta membawa maut.Sesungguhnya, cinta adalah suci dan ikhlas, namun, bila cinta kebersamaan syaitan, syahwat dan syubhat, maka cinta merupakan penyakit dan pemusnah jiwa manusia.Firman Allah
Dan hendaklah menjaga kesucian dirinya, orang-orang yang belum mampu menikah, hingga Allah mengayakan mereka dari kurniaNya…(An-Nur:33)
Cinta bukan hanya terbatas kepada cinta sesame manusia, tapi, makna cinta merangkumi cinta kepada Allah, Rasulullah, Hari akhirat dan jihad fi sabillah.Bagi seorang insan, bagaimana untuk menyatakan rasa kecintaan terhadap Pencintanya telah pun digariskan dalam Islam:
Katakan hai Muhammad: jika adalah kalian mencintai Allah, maka ikutilah aku. Maka Allah akan mencintai kalian dan ia ampuni segala dosa kalian….(Ali Imran:31)
Jadi, ambillah pengajaran daripada Al-Quran dan As-Sunnah dalam menitipkan rasa cinta terhadap Azza Wa Jalla.Selami kehidupan para rasul dan ummahatul mukminin dalam ketaatannya kepada Rabb.
Bahagian yang terakhir dalam buku ini membicarakan tentang pernikahan dan bagaimana pernikahan dijadikan platform untuk menggarap syurga Firdaus.Sebelum menjadi milik seorang lelaki yang bernama suami,seseorang wanita itu perlulah menimbang tara beberapa criteria diri seperti mengukur kualiti diri sendiri,mempersiapkan kualiti diri, berserius dalam ta’aruf dan melakukan ujian kualiti diri seperti bertanyakan kepada calon suami apakah motivasinya daripada perkahwinan nanti.
Bab yang terakhir ini pula hanya menyentuh tentang keangungan perempuan di sisi suami, di tengah keluarga dan masyarakat.Di sinilah kita didedahkan dengan kesetian Nailah AlFarafisyah yang berkahwin dengan Saidina Utsman bin Affan ketika berumur 18 tahun dan Saidina Utsman berumur 81 tahun,kecerdasan akal dan kemanjaan ‘Aisyah, kelembutan dan ketabahan Saidina Khadijah, dan ketaatan isteri para syuhada dalam menegakkan kebenaran seperti Ummu Usamah, isteri Hassan Al-Hudaibi, dan Aminah Quthb, isteri Kamal Asy Syananiri.
Sebagai kesimpulannya, Agar Bidadari Cemburu Padamu ingin mengajak kita menghayati erti kesalihan dan makna keimanan sebagaimana Allah dan Rasulnya kehendaki.Tambahan pula, buku ini mampu memberikan motivasi dan semangat serta petunjuk dalam menjalani kehidupan kebersamaan Allah.Moga buku ini mampu menjadi sumbu dalam membakar jiwa-jiwa syurga untuk mengolah potensi menjadi gerak kerja ‘amal kesalihan, perbaikan diri dari hari ke hari.Kemudian, kalau ada bidadari yang cemburu pada kita atas keshalihan demi keshalihan yang kita capai, maka biarlah dia cemburu.Biarlah itu menjadi risiko menempuhi jalan kebenaran, kesucian, dan kemuliaan yang telah kita azzamkan.



Wahai jiwa yang tenang, kembalilah pada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhai, maka masuklah ke dalam jannahKu…(AlFajr :27-30)